Kembara mencari Wadi

Kembara mencari Wadi

Renungan: Bahana ketawa



DALAM Islam apa saja yang dilakukan biarlah bersederhana. Sesuatu perbuatan
itu jika dilakukan dengan terlampau, biasanya akan membawa padah buruk.

Begitu juga dengan ketawa. Kata orang, ketawa membuatkan hati seseorang itu
riang. Ada juga pendapat bahawa ketawa penawar duka.
Namun, banyak ketawa sebenarnya menjadikan hati semakin malap dan tidak
berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati
juga tidak berfungsi lagi.

Nabi Muhammad melarang umatnya daripada gelak-ketawa yang melampau batas.
Ini kerana banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu.
Barang siapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu
ilmu.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan,
hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzah yang bakal
ditempuhi kelak.
Dunia hanya tempat tumpangan sementara. Kita sedang menuju ke satu destinasi
yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi. Sepatutnya kita berfikir
bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita.
Berbahagia di dunia bersifat sementara, tetapi di akhirat berpanjangan tanpa
had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang
berterusan dan berkekalan.
Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab serta
menyedarkan diri kita mengenai bahaya yang akan ditempuh.

*Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur,* demikian ditegaskan
oleh Rasulullah. Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki
dalam tempoh yang panjang.

Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu
pintu ke syurga atau neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan
lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.
Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang
ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.

Nabi pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya dilaknat akan dia
oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak
menangis di akhirat."

Saidina Ali sentiasa mengeluh: *Jauhnya perjalanan, sedikitnya bekalan.*
Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, baginda merasakan masih kurang lagi
amalan. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira
24 jam.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda, bermaksud; *Barang siapa banyak
tertawa-tawa, nescaya meringankan api neraka.* Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.

Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu.
Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan.
Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh
Rasulullah. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan
gigi tanpa bersuara kuat.

Beberapa sahabatnya pernah berkata "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum,
tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."

Diriwayatkan bahawa Rasulullah suka menziarahi orang sakit dan menghulurkan
bantuan kepada yang memerlukan walaupun ketika baginda sendiri dalam
kesempitan. Baginda amat menghormati tetamu juga tuan rumah. Justeru baginda
tidak pernah kelihatan berlunjur walaupun di rumahnya sendiri, malah tidak
pernah ketawa dengan kuat.

Rasulullah adalah seorang insan yang sentiasa tersenyum dan suka
menggembirakan orang lain. Sebarang kegusaran dan kehibaan hati akan
disembunyikan sedapat mungkin agar tidak diketahui sahabat. Abdullah bin
Harits menyebut: *Aku tidak pernah melihat seseorang yang sentiasa tersenyum
melebihi Rasulullah.*

Dalam sebuah riwayat lain menceritakan, ketika Rasulullah sedang berjalan
tiba-tiba datang seorang lelaki lalu merentap baju baginda dengan kasar
sehingga meninggalkan kesan koyak. Lelaki itu memohon kepada Rasulullah
untuk diberikan kepadanya sedikit pemberian. Rasulullah sambil tersenyum
terus memaafkan lelaki itu. Baginda sememangnya terkenal dengan sikap pemaaf
walaupun kepada musuhnya.

Ketawa pernah disifatkan sebagai *ubat jiwa*. Tetapi sesuatu ubat akan
berubah menjadi racun apabila berlebihan. Imam Hassan Al-Banna pernah
berwasiat janganlah banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung
dengan Allah itu, selalunya tenang dan tenteram.

Eidul Adha di lembah Nil

luvly mum

abawaini habibain

abawaini habibain

tinta murabbi

Mahasiswa adalah aset negara. Hal demikian kerana mahasiswa adalah generasi intelek yang menjadi harapan kepada masyarakat. Kekuatan semangat, intelektual dan idealisme tinggi merupakan kuasa penting mahasiswa. Justeru, hakikat ini perlu disedari dan diimplimentasikan agar kualiti mahasiswa pada hari ini selari dengan harapan masyarakat. Masyarakat juga meyakini, mahasiswa adalah harapan untuk menjadi pemimpin yang berintegriti tinggi.


Oleh itu, skop pemikiran mahasiswa tidak cukup sekadar memikirkan bagaimana hendak hidup kaya raya. Tidak cukup sekadar memikirkan bagaimana membina keluarga bahagia. Tidak memadai sekadar memikirkan design rumah idaman yang ingin dibina satu hari nanti. Akan tetapi, skop pemikiran mahasiswa memerlukan sedikit anjakan agar berjiwa besar. Mahaiswa harus berfikir seperti seorang negarawan. Memikirkan bagaimana halatuju ekonomi negara. Pendidikan bagaimana yang boleh memanusiakan manusia. Halatuju politik bagaimana yang boleh memberi manfaat kepada rakyat. Masyarakat bagaimana yang dicita-citakan.


Mahasiswa tidak boleh bersifat individualistik kerana kita adalah makhluk sosial yang bertanggungjawab sesama masyarakat. Justeru, mahasiswa perlu berfikir bagaimana ingin menjadi generasi yang diimpikan oleh masyarakat sebagaimana yang disebut oleh alQaradhawi sebagai ”generasi kemenangan yang dinanti-nantikan”. Mahasiswa mestilah berfikir sebagai seorang negarawan yang bertanggungjawab membangunkan negara dan memberi manfaat kepada masyarakat.



Ini bukanlah satu angan-angan kosong semata-mata akan tetapi tanggungjawab yang harus difikirkan bersama untuk menyempurnakan amanah Allah kepada hambanya sebagaimana firmanNya dalam al-Quran :



Maksudnya : ” Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku”

(al-Dzaariyat : 56)


Firman Allah dalam surah al Baqarah :



Maksudnya :Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

(al-Baqarah : 30)


Mahasiswa tidak boleh mengabaikan tugas memeperhambadakan diri kepada Allah. Pada masa yang sama konsep ibadah yang telah disalah tafsir perlu diperbetulkan. Mahasiswa perlu jelas akan konsep ibadah yang begitu luas. Melksanakan tugasan sebagai seorang negarawan juga adalah ibadah. Pemahaman sebegini sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi mahasiswa walaupun dari pelbagai aliran pembelajaran dan bidang. Konsep ibadah sebenar adalah konsep yang adil kepada semua. Dengan ini, pemikiran mahasiswa tidak hanya memandang bahawa mereka dari bidang agama sahaja yang paling bertaqwa dan tinggi ibadahnya. Akan tetapi, penguasaan ilmu yang pelbagai kerana Allah serta sesuatu amalan yang memberi manfaat kepada orang ramai juga adalah ibadah besar yang akan mendapat ganjaran dari Allah. Maka beruntunglah mereka yang menguasai pengetahuan teknologi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Begitu juga bidang-bidang yang lain seperti ekonomi, pendidikan, undang-undang, kejutureaan dan sebaginya.


Tugas sebagai khalifah juga tidak boleh dilupakan. Sebagaimana disimpulkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya yang mahsyur, Ahkam Sultaniyyah. Tugas utama khalifah ialah :


”Menegakkan agama serta mentadbir dunia dengan agama”


Tugas tersebut perlu disempurnakan. Mahasiswa Islam tidak boleh menganggap sudah melaksanakan tugas menegak agama dengan sekadar slogan yang dilaungkan. Akan tetapi mahasiswa Islam perlu berfikir bagaimana agama hendak diimplimentasikan dalam mentadbir dunia yang juga adalah amanah seorang hamba daripada Allah. Tugas ini selalu diabai dan dikesampingkan walhal ianya juga adalah amanah Allah kepada manusia.



Justeru, mahasiswa perlu berjiwa negarawan yang merasakan bahawa amanah memimpin Malaysia adalah salah satu amanah dari Allah. Islam tidak sekadar anugerah Allah kepada individu akan tetapi perlu diadaptasikan agar bertepatan dengan nilai Islam sebagai ”rahmatan lil ’alamin”. Ibadah itdak boleh diabaikan dan perlu diluaskan maksudnya agar selari dengan konsepnya yang sebenar. Pada masa yang sama tugas kekhalifahan tidak boleh dikesampingkan. Mahasiswa harus memikirkan bagaimana hendak mengibadahkan khilafah dan pada masa yang sama mengkhilafahkan ibadah. Pemikiran sebegini harus di bina sejak awal lagi. Mana mungkin Sultan Muhammad al-Fateh akan berjaya membuka Constantinople sekiranya jiwanya tidak dipasak awal bahawa ”akulah pembuka Constantinople”. Hasil jiwanya yang dipasak kuat sejak kecil, maka semangat juangnya tidak terpadam dalam perjuangan membuka Constantinople walaupun cabaran yang dihadapinya begitu besar.